fb fb fb fb fb

Op Kesan 4.0 lindungi pengguna daripada aktiviti pencatutan

Datuk Fahmi Fadzil / Foto RTM

PUTRAJAYA, 2 Julai– Jemaah Menteri hari ini dimaklumkan mengenai pelaksanaan Op Kesan 4.0 yang dilancarkan bermula semalam, sejajar dengan semakan kadar Cukai Jualan serta peluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, operasi tersebut merupakan inisiatif Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi memastikan tiada sebarang aktiviti pencatutan atau profiteering berlaku susulan pelaksanaan SST yang baharu.

“Ini adalah usaha pihak KPDN untuk mengelak sebarang kenaikan harga yang tidak munasabah akibat peluasan skop SST,” katanya dalam sidang media mingguan di sini, hari ini.

Beliau turut menggesa orang ramai untuk tampil membuat aduan sekiranya terdapat premis perniagaan yang dikesan menaikkan harga secara tidak wajar.

“Insya-Allah KPDN akan segera mengenal pasti premis-premis terbabit dan mengambil tindakan bersesuaian,” tegasnya.

Dalam perkembangan lain, Datuk Fahmi turut memaklumkan bahawa Kementerian Kesihatan (KKM) telah diminta supaya sentiasa memantau tahap kesihatan rakyat susulan cuaca panas yang melanda negara ketika ini.

Katanya, KKM juga diminta mengeluarkan nasihat berkala berkaitan kesesuaian aktiviti luar, selaras dengan perubahan cuaca susulan Monsun Barat Daya yang bermula 10 Mei lalu dan dijangka berterusan sehingga September ini.

"Jemaah Menteri turut mengambil maklum beberapa amaran cuaca panas yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia).

"Justeru, orang ramai dinasihatkan agar sentiasa mengikuti perkembangan dan notis rasmi daripada METMalaysia bagi menjaga keselamatan dan kesihatan masing-masing," katanya lagi.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM