
KOTA BHARU, 16 Mac – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan akan membuat rondaan serta pemantauan di 38 kawasan kerap berlaku kemalangan atau ‘blackspot’ dan 10 koridor utama trafik menerusi Op Hari Raya Aidilfitri (Op HRA) 2026 yang bermula dari 13 hingga 29 Mac ini.
- JPJ Kelantan menggerakkan 187 anggota, 33 kenderaan dan 50 pasukan operasi sepanjang Op HRA.
- Tumpuan operasi pada sembilan kesalahan utama termasuk had laju, lampu isyarat, lorong kecemasan dan penggunaan telefon bimbit ketika memandu.
- Kamera AWAS FT03 Seksyen 702 merekodkan purata kira-kira 1,400 pelanggaran had laju setiap hari.
Pengarah JPJ Kelantan, Mohd Misuari Abdullah berkata, antara laluan yang dikenal pasti ialah Jalan Gua Musang-Kuala Krai, Jalan Pasir Puteh-Kuala Terengganu dan Jalan Jeli-Gerik.
Beliau berkata pihaknya menjangkakan kira-kira dua juta kenderaan akan memasuki Kelantan menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.
“Saya semalam telah membuat rondaan bermotosikal bersama Unit Falcon Bahagian Penguatkuasa. Kita dapati sudah ada kumpulan yang mula memasuki Kelantan kerana bercuti lebih awal. Saya jangka sekitar 80 hingga 100 ribu kenderaan sudah mula masuk,” katanya kepada pemberita selepas meninjau Sistem Kesedaran Keselamatan Automatik (AWAS) di hadapan Istana Kubang Kerian, Kota Bharu, hari ini.
Sepanjang tempoh operasi itu, JPJ Kelantan menggerakkan 187 anggota penguat kuasa, melibatkan 33 kenderaan serta 50 pasukan operasi daripada semua bahagian JPJ negeri.
Dalam Op HRA 2026, pihaknya memberi tumpuan kepada sembilan kesalahan utama termasuk tidak mematuhi had laju, melanggar lampu isyarat, memandu di lorong kecemasan serta menggunakan telefon bimbit ketika memandu.
Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Misuari berkata pemantauan kamera AWAS di FT03 Seksyen 702 Jalan Kota Bharu-Kuala Terengganu merekodkan 24,135 kes pelanggaran had laju sepanjang tempoh 17 Februari hingga 5 Mac lalu.
Daripada jumlah itu, sebanyak 15,553 kes melibatkan kenderaan dari arah Kota Bharu, manakala 8,582 kes dari arah Kuala Terengganu.
“Berdasarkan analisis harian, jumlah pelanggaran tertinggi direkodkan pada 20 Februari 2026 dengan 1,771 kes, manakala jumlah terendah pada 5 Mac dengan 969 kes. Secara purata, kira-kira 1,400 kes pelanggaran direkodkan setiap hari,” katanya.