fb fb fb fb fb

OP HRA 2024: JPJ Kelantan kesan dua pemandu bas guna dadah

Pengarah JPJ Kelantan, Mohd Misuari Abdullah menyertai Penutup Operasi Penguatkuasaan Perayaan Hari Raya Aidilfitri (Op HRA) 2024 di sini malam ini/ BERNAMA

KOTA BHARU, 18 April - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan mengesan dua pemandu bas ekspres terlibat dengan dadah jenis methamphetamine sejak Op Hari Raya Aidilfitri 2024 dilancarkan pada 1 April lepas.

Pengarah JPJ Kelantan, Mohd Misuari Abdullah berkata kedua-dua pemandu bas berumur 40-an itu ditahan selepas ujian saringan air kencing mereka disahkan positif dadah oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di Terminal Bas Lembah Sireh di sini pada 4 April lepas.

Beliau memaklumkan ketika ditahan, kedua-dua pemandu daripada dua syarikat bas itu dijadualkan membawa penumpang untuk perjalanan dari Kota Bharu ke Kuala Lumpur.

“Hasil siasatan JPJ mendapati pemandu terbabit sebelum itu sudah memandu bas dari depot bas syarikat ke terminal bas di Lembah Sireh disyaki dalam pengaruh dadah.

“Sebaik dikesan positif, pihak syarikat diarahkan agar mencari pemandu gantian bagi kedua-dua pemandu itu supaya perjalanan membawa penumpang dapat diteruskan dengan selamat,” katanya.

Mohd Misuari berkata demikian kepada pemberita selepas Penutup Operasi Penguatkuasaan Perayaan Hari Raya Aidilfitri (Op HRA) 2024 di sini malam ini.

Sementara itu, diminta mengulas mengenai Op HRA 2024 yang dijalankan mulai 1 hingga 17 April lepas, sebanyak 17,017 notis dikeluarkan termasuk saman (9,122), notis arah periksa (233), Notis Temusiasat (6,833), Notis Sita (412) dan Notis Arah Timbang (lapan).

Selain itu, Mohd Misuari berkata penggunaan dron telah membantu meningkatkan penguatkuasaan bagi memastikan pengguna mematuhi arahan dan undang-undang jalan raya, sekali gus mencapai matlamat mengurangkan kadar kemalangan sebanyak 50 peratus menjelang 2030.

“Pengoperasian dron pada Op HRA 2024 telah berjaya merakamkan kesalahan seperti memotong di garisan berkembar, memandu di lorong kecemasan, tidak patuh isyarat lalu lintas lampu merah dan memotong barisan,” katanya.

ZEHRA BINTI ZAMBRI