SUNGAI PETANI ,17 Februari- Tindakan nekad seorang lelaki warga asing yang cuba mengelak dari pemeriksaan Imigresen dengan menyembunyikan diri di dalam tandas gagal selepas tindakannya akhirnya berjaya dihidu oleh anggota Imigresen menerusi Op Belanja di Sungai Petani semalam (Jumaat)
Lelaki warganegara Pakistan berusia sekitar 20 an yang bekerja di premis perniagaan itu melarikan diri sebaik menyedari kehadiran anggota JIM di kawasan berkenaan.
Operasi yang dijalankan di enam lokasi bermula pukul 10.35 pagi, berjaya menahan seramai enam pendatang tanpa izin (PATI) di premis perniagaan sekitar Sungai Petani berdasarkan maklumat awam.
Pengarah JIM Kedah, Mohd Ridzzuan Mohd Zain menerusi kenyataan berkata, dalam pemeriksaan tersebut, seramai 15 warga asing di periksa dengan enam daripadanya tidak memiliki sebarang pas yang sah untuk bekerja.
Mohd Ridzzuan berkata, daripada jumlah itu, lima lelaki warga negara Pakistan dan seorang lelaki warganegara Myanmar telah ditahan dalam operasi yang berakhir empat jam kemudian itu
Ridzzuan berkata, siasatan awal mendapati mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) iaitu tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah) dan Seksyen (15)(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) iaitu tinggal melebihi masa di Malaysia.
Kes turut disiasat dibawah Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar syarat Pas Lawatan dengan berkerja secara tidak sah.
Enam PATI tersebut ditahan sementara di lokap Imigresen, Bangunan Kementerian Dalam Negeri di Alor Setar untuk siasatan dan tindakan lanjut sebelum dibawa ke Depot Imigresen Belantik, Sik .