KUALA LUMPUR, 12 Ogos - Kertas dasar bagi penubuhan Ombudsman Malaysia akan dibentangkan untuk pertimbangan dan keputusan muktamad oleh Jemaah Menteri, jika diluluskan ia akan dibawa ke sesi Parlimen akan datang untuk penggubalan undang-undang berkaitan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, sehingga kini enam sesi libat urus telah diadakan di seluruh negara, melibatkan ratusan peserta.
Selain memanfaatkan penanda aras antarabangsa dari New Zealand, Timor-Leste dan Australia.
''Ombudsman akan gantikan Biro Pengaduan Awam (BPA) dan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC), komitmen inisiatif ini telah diperkukuhkan sejak tahun 2023, Jawatankuasa Protem yang ditubuhkan pada 16 Ogos 2023 telah membangunkan cadangan awal berkenaan struktur, fungsi dan bidang kuasa.
"Pada 12 Jun 2024 Jemaah Menteri luluskan pelaksaan sesi libat urus secara holistik selama 1 tahun dari Julai 2024 hingga Julai 2025 untuk dapatkan pandangan pihak berkepentingan,'' katanya di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan, mengenai status penubuhan Ombudsman Malaysia yang akan menggantikan BPA serta EAIC.
Inisiatif ini telah diperkukuh sejak 2023 dengan penubuhan Jawatankuasa Protem pada 16 Ogos 2023, yang bertanggungjawab membangunkan cadangan awal meliputi struktur, fungsi, dan bidang kuasa ombudsman.
Usaha ini dijangka dapat meningkatkan integriti, ketelusan dan akauntabiliti perkhidmatan awam, selain mengukuhkan kepercayaan rakyat, pelabur, serta komuniti antarabangsa terhadap Malaysia.