SIBU, 10 Julai- Seorang wanita orang kurang upaya (OKU) ditemui rentung dalam kebakaran yang memusnahkan tiga buah rumah di Kampung Bahagia Jaya, Teku, Sibu pagi tadi.
Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Zon 4 Sarawak, Andy Alie berkata mangsa maut dikenal pasti sebagai Kong Kim Ngin, 52 tahun.
Jelasnya, pihak bomba menerima panggilan mengenai kejadian itu pada pukul 8.04 minit pagi tadi.
“Seramai 21 orang anggota bomba dari Balai Bomba Sungei Merah dan Sentral Sibu terlibat didalam operasi memadam kebakaran itu pagi tadi,"katanya.
Katanya, kejadian difahamkan bermula dari rumah di tengah sebelum merebak ke rumah kiri dan kanannya.
“Kebakaran melibatkan tiga buah rumah struktur tidak kekal melibatkan keluasan, 20x47 meter persegi.
“Jumlah keseluruhan penghuni terlibat seramai 26 orang. Didapati terdapat seorang wanita yang terperangkap dan mayatnya telah dibawa keluar pada jam 10:26 pagi,"katanya
Operasi pemadaman api ditamatkan pada pukul 10.55 pagi tadi dan mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.