SHAH ALAM, 24 November- "Kita kena menghargai kelebihan dimiliki. Jangan rasa apabila kita orang kurang upaya (OKU), kita kurang daripada orang lain," demikian luah penerima Anugerah Naib Canselor (ANC) graduan OKU, Intan Nik Nurjannah Mat Darus, 21 tahun.
Graduan Diploma Pengurusan Perpustakaan dari Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik dan Matematik Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kedah itu kini melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perpustakaan.
"OKU saya dikenali sebagai discolation patellar. Dalam ahli keluarga, hanya saya, kakak sulung dan abang anak kelima sahaja dapat genetik ini. Lagi tiga orang adik beradik normal," kongsinya.
Menurut Intan, dirinya tidak mempunyai masalah kerana hanya OKU dari sudut fizikal.
"Alhamdulillah saya tidak ada masalah dalam pembelajaran. Saya OKU fizikal, jadi proses untuk menimba ilmu mudah," ujarnya.
Meskipun terbatas untuk melakukan aktiviti lasak, ia tidak pernah memadamkan impiannya untuk terlibat sama dalam aktiviti itu.
Anak bongsu daripada enam beradik itu juga memaklumkan kakak dan abangnya juga mempunyai masalah sama.
Namun kedua-duanya telah melakukan pembedahan berikutan tempurung lutut kerap terkeluar.
Penyakit secara genetik itu juga membolehkan Intan memegang kad OKU.
Sejak berusia sembilan tahun, Intan sudah terbiasa dengan perkara itu meski kerap menerima pertanyaan sama berulang kali.
"Walaupun cabaran sebagai pemegang kad OKU banyak, tetapi saya tahu kemampuan yang dimiliki. Apabila kita kenal diri sendiri, ia membolehkan saya mengenali tahap kemampuan," sambungya.
Mengenai kecemerlangannya merangkul Anugerah Naib Canselor (ANC), Intan berkata, fokus dan tanggungjawab menjadi kunci utamanya.
"Sentiasalah bertanggungjawab pada diri sendiri. Sepanjang belajar, saya selalu fokus apabila membuat setiap tugasan. Saya sangat-sangat menjaga pemarkahan untuk setiap subjek.
"Saya juga terinspirasi dengan kata-kata dari seorang staf perpustakaan ini semasa orientasi. Motivasi itu menjadikan saya berazam untuk memakai 'selempang pink’.
"Jangan biarkan sesiapa mempengaruhi apa yang kita buat dan apa yang kita ingin capai. Jangan biarkan perkara-perkara yang tidak menjurus kepada kejayaan dan mempengaruhi diri kita," jelasnya.
Intan juga berpegang kepada percaya diri dan sentiasa melakukan yang terbaik.
"Buat pelajar yang memegang kad OKU seperti saya, tidak hina sebagai OKU. Di sebalik kekurangan, kerajaan tidak memandang sepi perkara ini.
"Terdapat pelbagai bantuan diberikan kepada golongan OKU. Jadikan kekurangan itu sebagai tempat untuk kita cari kelebihan dalam diri kita," katanya.
Dalam pada itu, Intan juga memanjatkan kesyukuran biarpun dibesarkan ibu tunggal, ia tidak mematahkan semangatnya.
Ibunya juga tidak menyerah membesarkan Intan empat beradik yang juga dibantu kakak sulungnya.
"Lagi dua orang adik beradik tinggal dengan ayah. Macam-macam kerja mak buat. Pengorbanan mereka sangat saya hargai, ia terl;alu besar buat saya.
"Saya juga nak berterima kasih dekat pihak persatuan Kebajikan OKU UiTM, tidak dilupakan kepada semua pihak termasuk semua rakan-rakan yang terlibat dalam memperjuangkan hak dan perkara-perkara yang diperlukan," kata Intan.
Sebagai seorang pelajar, Intan turut menasihatkan supaya dapat membahagiakan masa dengan betul.
Tidak dinafikan kehidupan sebagai seorang pelajar juga mempunyai cabaran tersendiri apatah lagi sedang meniti kedewasaan.
"Tolong sayang diri sendiri, ikut kemampuan. Sekiranya tidak mampu dilaksanakan, rehatkan minda, rehatkan badan. Jangan pernah menyerah," katanya menutup bicara.