
KUALA LUMPUR, 7 Mac – Sejarah yang tercatat dalam al-Quran wajar dihargai kerana ia berperanan memperbaiki kedudukan manusia, menimba ibrah daripada pengalaman lampau, dan membimbing umat menghadapi cabaran masa kini.
- Ramadan bukan sekadar puasa; ia peringatan penurunan wahyu yang menyaksikan transformasi sosial dan rohani masyarakat.
- Al-Quran membentuk masyarakat menjadi khayra ummah, mencontohi generasi para sahabat yang dikenal sebagai generasi al-Quran.
- Jadikan al-Quran pedoman untuk memperkukuh akidah, memaknai kehidupan, dan membina masyarakat sejahtera serta berperadaban.
Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ramadan bukan sekadar bulan berpuasa dan tarawih, tetapi juga peringatan penurunan wahyu yang membawa transformasi luar biasa kepada masyarakat.
“Melaluinya, masyarakat jahiliah berjaya dibentuk menjadi khayra ummah, sebagaimana generasi para sahabat yang dikenal sebagai generasi al-Quran”, katanya menerusi catatan di Facebook.
Jelas Perdana Menteri, al-Quran bukan sahaja memperkukuh akidah dan memuliakan insan, tetapi juga merakamkan misi islah melalui kisah perjuangan para rasul sebagai pedoman umat Islam.
“Moga kita menjadikan al-Quran sebagai pedoman yang memandu langkah kita, memperkukuh akidah, memaknai kehidupan serta membina sebuah masyarakat yang sejahtera dan berperadaban”, ujar beliau.