fb fb fb fb fb

Nurul Izzah tidak lagi berkhidmat sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan PM

(FOTO BERNAMA)

KUALA LUMPUR, 12 Februari- Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar kini tidak lagi berkhidmat sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perkara itu disahkan Nurul Izzah dalam satu kenyataan.

"Pengerusi Jawatankuasa Penasihat kepada Menteri Kewangan, Tan Sri Mohd Hassan Marican, telah mengundang saya menyertai Sekretariat Jawatankuasa Penasihat bagi membantu usaha mereka dalam memperkukuh ekonomi negara dan rakyat.

"Saya dengan rendah diri menerima tanggungjawab ini.

" Menerusi peranan baharu ini, saya tidak lagi berkhidmat sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan kepada Perdana Menteri," katanya.

Katanya, beliau amat menghargai setiap peluang untuk menyumbang kepada negara demi melakar masa depan yang lebih baik untuk Malaysia.

"Saya mengambil kesempatan ini bagi menzahirkan sepenuh penghargaan atas setiap sokongan dan dokongan yang diberikan, baik daripada orang ramai mahupun seluruh pasukan perkhidmatan awam dan komuniti kerajaan.

"Rakyat Malaysia secara keseluruhannya mengharapkan masa depan yang cemerlang dan penyatuan yang utuh dipimpin oleh Perdana Menteri bersama Kerajaan Perpaduan.

"Saya berharap khidmat membantu Tan Sri Mohd Hassan berserta anggota jawatankuasa lain mampu memberi manfaat kepada negara tercinta. Terima kasih saya ucapkan kepada seluruh jawatankuasa. Sama-samalah kita menyumbang dalam sebarang kapasiti demi negara kita," katanya.

Awal bulan lalu, Nurul Izzah memaklumkan beliau dilantik sebagai penasihat kanan bagi ekonomi dan kewangan kepada Perdana Menteri, berkuat kuasa 3 Januari 2023.

(Nurul Izzah (kanan) bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim/FOTO FAIL BERNAMA)

Pelantikan itu bagaimanapun mengundang kritikan pelbagai pihak terutama pembangkang yang mempertikaikan keputusan berkenaan dan mengaitkannya dengan amalan nepotisme.

Anwar kemudian menjelaskan, anaknya tidak akan menerima sebarang elaun dan beliau sendiri mempelawa bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu untuk membantunya sebagai penasihat di Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Kewangan.

Media Baharu