Nurul Alifa cipta sejarah, wanita pertama terima sayap penerbang

FOTO MARITIM MALAYSIA

PUTRAJAYA, 30 Mac – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) melakar sejarah apabila Leftenan Madya Maritim Nurul Alifa Alias muncul sebagai pegawai wanita pertama menerima Sayap Penerbang.

RINGKASAN BERITA AI
  • Menamatkan latihan juruterbang helikopter selama 20 bulan meliputi ikhtiar hidup, UWET, simulator dan penerbangan sebenar.
  • Merekodkan 155 jam penerbangan, membuktikan tahap kompetensi tinggi sebagai juruterbang helikopter.
  • Pencapaian memperkasa keupayaan operasi udara Maritim Malaysia dan menjadi inspirasi untuk penglibatan wanita dalam agensi keselamatan maritim.

Pengiktirafan tersebut diberikan selepas beliau berjaya menamatkan latihan juruterbang helikopter selama 20 bulan, sekali gus membuktikan kemampuan wanita untuk cemerlang dalam bidang yang mencabar dan berisiko tinggi.

Menurut Timbalan Ketua Pengarah (Logistik) Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan Ibrahim, berkata pencapaian itu merupakan satu lonjakan besar dalam memperkasa keupayaan operasi udara agensi.

“Ini merupakan lonjakan besar dalam memperkasa keupayaan operasi udara Maritim Malaysia, selain mencerminkan komitmen terhadap inklusiviti, khususnya penglibatan wanita dalam agensi ini,” katanya demikian ketika berucap pada Majlis Tamat Latihan dan Pemakaian Sayap Penerbang Maritim Malaysia 2026 yang berlangsung disini hari ini.

Nurul Alifa merupakan antara lapan pelatih Juruterbang Helikopter Siri 3/2024 yang menamatkan latihan intensif merangkumi pelbagai fasa termasuk latihan ikhtiar hidup, underwater escape training (UWET), sesi simulator serta penerbangan sebenar.

Sepanjang latihan, beliau berjaya merekodkan 155 jam penerbangan, sekali gus membuktikan tahap kompetensi tinggi sebagai juruterbang helikopter.

Pencapaiannya bukan sahaja membanggakan agensi, malah menjadi inspirasi kepada lebih ramai wanita untuk menceburi bidang keselamatan dan penguatkuasaan maritim negara.

Dalam majlis sama, tujuh lagi pelatih lelaki turut dianugerahkan Sayap Penerbang, manakala enam pelatih diiktiraf sebagai Pegawai Sistem Udara bagi Siri 2/2024.

Selain itu, lima jurulatih penerbangan turut menerima sijil tamat latihan masing-masing.