KUALA LUMPUR, 18 November- Nurul Ain Haron, rakyat Malaysia yang sebelum ini terkandas di Gaza, akan meneruskan usaha membantu penduduk di wilayah konflik itu dengan cara menyalurkan wang tunai hasil sumbangan orang ramai.
Sumbangan akan dimasukkan ke akaun bank abang iparnya di Gaza sebelum diagihkan secara terus kepada penduduk terjejas.
Kaedah itu lebih berkesan berbanding bantuan barang keperluan seperti makanan kerana berisiko disekat dalam tempoh lama di sempadan Rafah.
"Pada pandangan saya, badan bukan kerajaan (NGO) yang mungkin, saya tak boleh nak cakap tak boleh... Ada kemungkinan mereka boleh masuk. dapat salurkan bantuan makanan atau selimut.
"Tetapi sukar untuk saya melakukan perkara itu kerana saya bergerak sendiri. Ia akan menjadi sukar. Jadi apa yang saya boleh buat adalah dengan banuan kewangan. Mungkin mereka perlu wang dan boleh mencari barang keperluan di sana, insya-Allah," katanya ketika ditemui RTM.
Nurul Ain ditemani suami, Mohamed Adan Shaat ketika berkongsi pengalaman mereka ketika Gaza dihujani bom serangan balas rejim Zionis sejak 7 Oktober lalu.
Pasangan itu sebelum ini menetap di Emiriah Arab Bersatu (UAE) namun berkunjung ke kampung halaman Muhammad Adan di Khan Younis, Gaza buat pertama kali pada 1 Oktober lalu, selepas hampir enam tahun mendirikan rumah tangga.