
KUALA LUMPUR, 10 Mac – Inisiatif Sandbox Teknologi dan Inovasi Nasional (NTIS) antara pendekatan kerajaan bagi memperkukuh pembangunan ekosistem teknologi patuh syariah negara.
- Platform NTIS membolehkan syarikat menguji teknologi dalam persekitaran terkawal serta menyokong pengkomersialan melalui padanan dana dan bantuan teknikal.
- Sokongan kerajaan setara dengan program regulatory sandbox di Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu.
- Malaysia menumpukan penyelarasan kawal selia dan kerjasama merentas agensi untuk pengiktirafan pensijilan halal global.
- MOSTI mempergiat kolaborasi dengan pemain teknologi Islamik dan JAKIM untuk akses pasaran antarabangsa dan pematuhan piawaian eksport.
Timbalan Menteri Sains, Teknologi Dan Inovasi, Datuk Dr. Mohammad Yusof Apdal memaklumkan, platform tersebut membolehkan syarikat tempatan menguji teknologi melalui persekitaran terkawal serta menyokong pengkomersialan menerusi pemadanan dana dan bantuan teknikal.
Tambahnya, sokongan kerajaan kepada syarikat serta inovator tempatan juga setanding dengan program regulatory sandbox yang dilaksanakan di Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).
“Berbanding Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu yang mempunyai dana pelaburan yang besar, pendekatan Malaysia lebih menumpukan kepada penyelarasan kawal selia serta integrasi kerjasama merentas agensi bagi memastikan ekosistem pensijilan halal negara diiktiraf di peringkat global.
“Pada masa sama, MOSTI akan terus mempergiat kolaborasi dengan pemain industri teknologi Islamik bagi memastikan Malaysia kekal relevan sebagai peneraju dalam ekonomi digital Islam dunia melalui inovasi yang mampan dan patuh syariah,” katanya ketika menjawab soalan yang dikemukan Senator Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar di Dewan Negara.
Tambahnya, MOSTI turut memperluas akses syarikat tempatan ke pasaran antarabangsa melalui kerjasama dengan badan pensijilan seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bagi memastikan teknologi berteraskan Islam memenuhi piawaian pensijilan eksport ke pasaran luar negara.