KUALA PILAH, 27 April- Program 'NS Seven Wonders Challenge' mampu menarik pelancong ke Negeri Sembilan, terutama pelancong dari luar negara.
Menteri Besar, Datuk Seri Utama Aminuddin Harun berkata, program mendaki tujuh buah gunung di negeri itu ibarat serampang dua mata selain memupuk kesedaran kepada masyarakat untuk mengamalkan gaya hidup sihat dengan membudayakan sukan disamping menikmati keindahan alam sekitar ia sekali gus merancakkan lagi sektor sukan pelancongan.
"Impak penganjuran program ini secara tidak langsung datang bersama peserta yang hadir, tetapi masyarakat di luar sana yang datang beriadah bersama keluarga itu lebih ramai,"katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Pelepesan 'NS Seven Wonders Challenge' di Ulu Bendul, Kuala Pilah.
Program tersebut akan dilaksanakan selama tujuh bulan di setiap daerah di Negeri Sembilan menyaksikan Gunung Angsi, Kuala Pilah menjadi destinasi pertama pelaksanaan program.
Dianggarkan lebih 1,000 para peserta mengambil bahagian termasuk 40 daripadanya adalah dari Singapura.