SEREMBAN, 8 Mei- Kerajaan Negeri Sembilan akan memberi keutamaan terhadap Kajian Laluan Alternatif Jalan Seremban-Kuala Pilah (FT051) yang dijangkakan akan berakhir pada 26 Julai 2023.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata inisiatif laluan tersebut adalah bagi mengatasi masalah kesesakan lalu lintas yang sering berlaku terutamanya pada musim perayaan dan cuti hujung minggu.
"Pihak Kementerian Kerja Raya (KKR) sedang melaksanakan kajian laluan alternatif Jalan Seremban-Kuala Pilah, Serting yang dijangka akan berakhir pada 26 Julai 2023.
Sebulan yang lepas saya telah bersama dengan KKR, telah berbincang mengenai alternatif jalan ini. Kita berharap supaya ia dapat diluluskan pada bajet akan datang kerajaan Persekutuan," kata Aminuddin menjawab pertanyaan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serting, Datuk Shamsulkahar Mohd Deli dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri Negeri Sembilan berkenaan pembinaan jalan tersebut yang dapat menyelesaikan kesesakan trafik serta pembangunan ekonomi di kawasan sekitar khususnya di Jempol.

(Foto FB Menteri)
Dalam pada itu, kerajaan negeri melalui JKR Negeri Sembilan telah mengangkat permohonan Projek Membina Jalan Baharu Dari Ulu Bendul Ke Juasseh, Daerah Kuala Pilah, di bawah RMK-12, RP4 ke Kementerian Kerja Raya pada 27 Februari 2023, bagi mengatasi masalah kesesakan lalu lintas di kawasan tersebut.
Persidangan kelima penggal kelima DUN Negeri Sembilan Ke-14 yang berlangsung hari ini merupakan persidangan terakhir sebelum DUN dibubarkan yang dijangka pada Jun depan.