PUTRAJAYA, 20 Januari – Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) sedang menyiasat dakwaan kerugian RM500,000 yang dialami sebuah keluarga dalam penjualan tanah pusaka.
Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad menegaskan tindakan undang-undang akan diambil terhadap pihak yang didapati bersalah.
“Kita pandang serius isu ini. Sebab itu kerajaan memberi fokus kepada pelaksanaan sistem e-Tanah bagi mengurangkan campur tangan manusia dan risiko pemalsuan. Sistem ini masih dalam proses transisi, dan kita akan menyiasat setiap kes secara terperinci,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Persidangan Akademi Hijau, di sini.
Nik Nazmi turut memaklumkan, isu penipuan tanah bukanlah perkara baharu, malah telah lama berlaku, termasuk di peringkat negeri dan pejabat tanah serta daerah.
“Kerajaan Persekutuan komited memastikan integriti sistem pentadbiran tanah terus dipelihara,” tambah Nik Nazmi.
Sistem e-Tanah, yang dibangunkan kerajaan untuk meminimumkan aktiviti penipuan dalam pemilikan tanah secara dalam talian, telah mula dilaksanakan di Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan, Perak, dan Selangor.