
KUALA LUMPUR, 5 Februari – Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) akan terus mempergiat usaha menangani perubahan iklim serta memperkukuh pembangunan rendah karbon selaras dengan permulaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), sekali gus memastikan pengurusan sumber asli dan alam sekitar negara kekal lestari demi kesejahteraan rakyat dan generasi masa hadapan.
- Perkukuhan dasar pembangunan rendah karbon dan pelaksanaan tindakan adaptasi iklim untuk kesejahteraan generasi akan datang.
- Malaysia sasar pelepasan gas rumah kaca sifar bersih menjelang 2050 dengan sokongan mekanisme pembiayaan antarabangsa.
- Pengukuhan teknologi hijau, larangan eksport mentah REE dan pemuliharaan biodiversiti untuk pembangunan mapan.
Menterinya, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkat komitmen itu merangkumi pelaksanaan dasar pembangunan rendah karbon yang inklusif, pemerkasaan tindakan adaptasi iklim serta pengurusan biodiversiti dan sumber asli secara mampan.
Malaysia mempunyai asas kukuh untuk mencapai sasaran pelepasan gas rumah kaca sifar bersih menjelang 2050 melalui kepelbagaian mekanisme pembiayaan antarabangsa termasuk Global Environment Facility (GEF), Green Climate Fund (GCF) dan Adaptation Fund.
“Melalui kepelbagaian mekanisme pembiayaan antarabangsa seperti GEF dan Adaptation Fund, prestasi tadbir urus dana yang cemerlang, serta perancangan awal bagi kitaran pembiayaan akan datang, Malaysia mempunyai asas yang kukuh untuk terus menyokong agenda mitigasi dan adaptasi perubahan iklim, sekali gus memastikan sasaran pelepasan GHG sifar bersih menjelang 2050 kekal boleh dicapai,” katanya ketika sesi penggulungan usul menjunjung kasih atas Titah Diraja di Dewan Rakyat, hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, agenda teknologi hijau negara terus diperkasa apabila International Greentech & Eco Products Exhibition and Conference Malaysia (IGEM) 2025 mencatat potensi pelaburan sebanyak RM20.7 bilion dengan penglibatan 44 negara dan kehadiran kira-kira 57,000 pelawat.
Jelas beliau, pencapaian itu mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab teknologi hijau serantau selain menyokong transformasi ekonomi rendah karbon negara.
Pada masa sama, kerajaan turut memberi tumpuan kepada usaha adaptasi melalui pembangunan Pelan Adaptasi Kebangsaan (MyNAP) bagi menangani risiko banjir, kenaikan paras laut, hakisan pantai dan kemarau, khususnya melibatkan sektor jaminan air, pesisir pantai, infrastruktur dan bandar.
Dalam sektor sumber asli pula, kerajaan menegaskan dasar larangan eksport mentah unsur nadir bumi (REE) kekal bagi memastikan pembangunan rantaian nilai industri dalam negara secara mampan, di samping memperkukuh penguatkuasaan terhadap aktiviti perlombongan dan pemeliharaan kualiti sumber air.
Bagi perlindungan biodiversiti dan hutan, pelaksanaan Dasar Kepelbagaian Biologi Kebangsaan 2022-2030 serta pemberian insentif Ecological Fiscal Transfer terus diperkasa bagi memastikan pengurusan hutan secara berkekalan dan pemuliharaan ekosistem negara.
Mengakhiri penggulungan, beliau menegaskan komitmen kerajaan untuk terus bekerjasama dengan semua pihak dalam menjaga serta mengurus sumber alam secara seimbang antara pembangunan dan kelestarian demi generasi akan datang.
“Keseimbangan antara pembangunan manusia dan kelestarian alam sekitar mesti terus dipelihara bagi menjamin masa depan negara yang mampan,” katanya.