NRES lancar FCC tangani jurang dana konservasi RM1.4 bilion

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup/ BERNAMA

SHAH ALAM 30 Mac – Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) melancarkan Forest Conservation Certificate (FCC) sebagai platform pembiayaan konservasi hutan negara, dalam usaha merapatkan jurang dana yang kini melebihi RM1.4 bilion.

RINGKASAN BERITA AI
  • FCC berfungsi sebagai pengesahan pihak ketiga untuk menarik syarikat menyumbang kepada pemuliharaan hutan
  • Kerajaan menawarkan insentif potongan cukai sebanyak 10% kepada syarikat yang menyumbang kepada dana konservasi
  • Projek Penjaga Gunung di Selangor lindungi 108,000 hektar dan memfokuskan pemberdayaan komuniti setempat termasuk Orang Asli

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, FCC berfungsi sebagai sistem pengesahan pihak ketiga (third party verification) bagi menarik penyertaan syarikat dan entiti korporat dalam menyumbang kepada usaha konservasi hutan.

“FCC ini bertujuan untuk menjadi satu jenis third party verification dalam kita menjemput pihak syarikat dan juga korporat untuk bantu kita menjana lebih banyak dana bagi usaha konservasi,” katanya

Menurut beliau, inisiatif itu penting memandangkan usaha pemuliharaan hutan memerlukan komitmen kewangan yang tinggi, namun negara masih berdepan kekurangan dana yang ketara.

Sebagai galakan, kerajaan menawarkan insentif potongan cukai sebanyak 10 peratus kepada syarikat yang menyumbang kepada dana konservasi.

Setakat ini, kementerian menyasarkan mobilisasi dana sebanyak RM30.2 juta, dengan RM29 juta telah berjaya dikumpulkan daripada pelbagai syarikat di seluruh negara serta sembilan projek diluluskan.

Arthur turut menegaskan penyertaan tidak terhad kepada syarikat besar, sebaliknya perusahaan kecil dan sederhana juga dialu-alukan untuk bersama memperkukuh usaha konservasi negara.

“Tidak semestinya syarikat besar, perusahaan kecil dan sederhana juga kita alu-alukan untuk bersama membantu meningkatkan usaha konservasi kita,” jelas beliau dalam Majlis
pengiktirafan FCC sebagai platform pembiayaan konservasi hutan

Dalam perkembangan berkaitan, satu perjanjian konservasi dimeterai bagi projek Penjaga Gunung di Selangor melibatkan kerjasama antara MFF, Vantage Data Center dan Your Idea Maker.

Projek tersebut dilaksanakan di Hutan Warisan Diraja Selangor meliputi kawasan seluas 108,000 hektar, dengan fokus memperkasa komuniti setempat termasuk masyarakat Orang Asli di Kampung Gerachi, Pertak dan Kuala Kubu Bharu.

Sementara itu, Arthur turut memaklumkan NRES akan menyediakan amaran awal susulan ketidaktentuan cuaca agar agensi terlibat mampu membuat persediaan awal.

“Kita mahu memberi amaran lebih awal supaya masyarakat dan kerajaan boleh buat persediaan yang diperlukan.

“Sekiranya perlu, akan ada intervensi seperti pembenihan awan dan sebagainya, itu semua akan berasaskan kepada data dan juga laporan yang diberikan oleh MetMalaysia,” katanya ketika ditemui selepas Program Pendanaan Konservasi Hutan yang dirasmikan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah di sini hari ini.

Pelancaran FCC melalui Malaysia Forest Fund (MFF) itu disempurnakan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Hajj.

Dalam pada itu, beliau turut mengulas kerjasama antarabangsa membabitkan konservasi gajah antara Zoo Taiping dan sebuah institusi di Osaka, Jepun.

Arthur menjelaskan program berkenaan merupakan sebahagian daripada program kerjasama yang telah dimeterai sejak 2014.

“Sekiranya gajah itu tidak dapat menyesuaikan diri, kita ada hak untuk membawa balik gajah tersebut,” katanya.