Normalisasi gaya hidup bercanggah ajaran Islam tidak wajar disokong

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 10 Januari -Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) menegaskan sebarang usaha menormalisasikan gaya hidup yang bertentangan dengan ajaran Islam tidak wajar disokong.

RINGKASAN BERITA AI
  • IKIM menolak normalisasi gaya hidup yang bercanggah dengan ajaran Islam.
  • Isu sosial perlu ditangani dengan ilmu, kefahaman, hikmah, kasih sayang dan pemulihan.
  • Hak asasi dihormati tetapi mesti seimbang dengan tanggungjawab moral dan nilai Islam.
  • IKIM bersedia bekerjasama dalam pendidikan, wacana dan penyelidikan untuk memperkukuh kefahaman.

Ketua Pengarah IKIM, Prof. Madya Datuk Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil berkata, pihaknya mengambil maklum penganjuran program “Glamping With Pride” oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berasaskan komuniti lelaki gay dan biseksual di Malaysia.

Tegas beliau, Islam menolak sebarang bentuk perlakuan yang bercanggah dengan fitrah manusia dan hukum syarak.

Namun, isu berkaitan perlu ditangani berasaskan ilmu, kefahaman dan hikmah, selaras dengan prinsip Islam yang menekankan kasih sayang, bimbingan serta pemulihan.

“Setiap isu sosial perlu didekati dengan kebijaksanaan dan empati, dengan mengambil kira dimensi kesihatan awam, kesejahteraan mental serta tanggungjawab sosial, tanpa mengabaikan prinsip dan nilai Islam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam konteks Malaysia sebagai negara berbilang kaum dan agama, beliau berkata, IKIM menghormati hak asasi individu seperti yang tertakluk dalam Perlembagaan Persekutuan.

Bagaimanapun, setiap hak itu perlu diseimbangkan dengan tanggungjawab moral serta nilai-nilai Islam yang menjadi tunjang kepada keharmonian masyarakat dan pembentukan akhlak bangsa.

“Penyelesaian jangka panjang terhadap isu ini perlu berasaskan pendidikan nilai, pengukuhan institusi keluarga serta kerjasama erat antara agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan, pihak media dan masyarakat.

Sehubungan itu, IKIM bersedia menjadi rakan strategik dalam pelaksanaan program pendidikan, wacana dan penyelidikan bagi memperkukuh kefahaman Islam,” menurut kenyataan itu lagi.

Media sebelum ini melaporkan, program “Glamping With Pride” dijadual berlangsung hujung minggu depan di Hulu Langat.

Ia memberi tumpuan kepada aspek kesihatan dan sokongan komuniti, khususnya berkaitan isu HIV.