fb fb fb fb fb

NIOSH sedia kaji semula protokol keselamatan operasi PBT libatkan penggunaan kenderaan

Chong Chien Jen/ Foto Fail: BERNAMA

KUALA LUMPUR, 18 April- Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) sedia bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT), kontraktor dan masyarakat untuk mengkaji semula serta meningkatkan protokol keselamatan bagi operasi melibatkan penggunaan kenderaan atau jentera.

Pengerusinya Chong Chien Jen dalam kenyataan hari ini berkata langkah itu bagi memastikan insiden kemalangan maut melibatkan lori air milik kontraktor PBT di Miri, Sarawak pada Selasa lepas, tidak berulang pada masa hadapan.

Beliau berkata kenderaan terlibat dalam operasi atas jalan dan tepi jalan perlu dilengkapi dengan tanda dan lampu amaran mencukupi agar kenderaan lain mengetahui kedudukan serta aktiviti yang sedang dijalankan sekali gus mengelak insiden tidak diingini termasuk kemalangan.

“Pihak terbabit dalam operasi perlu melaksanakan pelan pengurusan trafik yang baik termasuk menyediakan papan tanda sesuai, penghadang jalan dan had laju bersesuaian di kawasan operasi untuk melindungi pekerja serta pengguna jalan raya.

“Audit dan pemeriksaan keselamatan berkala perlu dijalankan terhadap peralatan dan kawasan operasi bagi memastikan pematuhan keselamatan berada pada tahap tertinggi,” katanya.

Chong berkata latihan berterusan untuk semua personel yang terlibat dalam operasi di jalan raya juga perlu dilaksanakan untuk memastikan mereka menyedari dan mahir dalam amalan keselamatan terkini serta langkah pengurangan risiko.

Menurutnya semua pihak perlu memastikan keselamatan pekerja dan orang awam semasa operasi di atas jalan raya, dan NIOSH ingin menasihati pihak majikan serta pekerja mengamalkan kaedah dikenali sebagai Pengenalpastian Bahaya, Penilaian Risiko dan Kawalan Risiko (HIRARC).

Beliau berkata HIRARC menetapkan peningkatan keselamatan di tempat kerja secara proaktif selari dengan peruntukan di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (OSHA 1994) yang menggariskan tanggungjawab majikan termasuk kontraktor, subkontraktor serta pekerja untuk memastikan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja.

“Kesedaran awam mengenai kewujudan kenderaan yang menyediakan perkhidmatan di jalan raya, mengurangkan kelajuan dan sentiasa berhati-hati apabila melalui zon kerja juga perlu dipertingkat,” katanya.

Sementara itu, Chong berkata NIOSH turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang terlibat dalam kemalangan itu.

Selasa lepas, seorang pemandu maut manakala penumpangnya cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) dan sebuah lori di Jalan Airport di Miri.

 

ZEHRA BINTI ZAMBRI