fb fb fb fb fb

Nilai kerosakan rumah akibat ribut di Pendang cecah jutaan ringgit

PENDANG, 24 Mac- Nilai keseluruhan kerosakan rumah serta bangunan milik agensi dan jabatan kerajaan yang terlibat dalam kejadian ribut di sini baru-baru ini dijangka mencecah jutaan ringgit.

Bagaimanapun, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Bekalan dan Sumber Air, Tenaga, Pengairan dan Saliran Negeri Kedah, Datuk Suraya Yaacob berkata, kos sebenar kerosakan terbabit sedang diperincikan oleh pihak berkaitan.

Beliau berkata, selain rumah penduduk, Klinik Pergigian Sungai Tiang, Balai Polis Sungai Tiang, Pusat Kokurikulum Sungai Tiang; dan Masjid Felda Sungai Tiang turut mengalami kerosakan.

"Sekolah Kebangsaan Sungai Tiang mengalami kerosakan teruk apabila hampir keseluruhan bumbung bangunan yang menempatkan bilik darjah diterbangkan angin," katanya selepas menyampaikan sumbangan kerajaan negeri berjumlah RM25,000 kepada 100 penduduk terjejas akibat ribut di Felda Sungai Tiang di sini.

(Datuk Suraya Yaacob menyampaikan sumbangan kepada penduduk terjejas)

Keadaan itu menyebabkan sesi persekolahan yang sepatutnya bermula pada Isnin lalu terpaksa ditangguhkan ke minggu hadapan kerana masih belum dibaik pulih.

"Saya menyeru dan memohon kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan semua agensi kerajaan yang dapat membantu untuk meringankan beban serta memulihkan keadaan terutama tempat dan perkhidmatan awam supaya dapat dikembalikan kepada normal seperti di sekolah, kanak-kanak dapat mula bersekolah kembali, mereka belum mula sekolah lagi akibat ribut ini dan juga klinik pergigian, selalu boleh guna, sekarang ini tidak boleh digunakan," katanya lagi.

Beliau yang juga ADUN Sungai Tiang berharap, badan bukan kerajaan (NGO), badan korporat, dan individu yang prihatin untuk sama-sama menghulurkan bantuan bagi membaik pulih rumah penduduk yang terjejas teruk.

Dalam kejadian petang Sabtu lalu, 119 buah rumah mengalami kerosakan di bahagian bumbung dan dinding selepas dilanda ribut serta hujan lebat.

Media Baharu