fb fb fb fb fb

Lebih 200 rumah, perniagaan terjejas banjir di Nibong Tebal

Fadhlina Sidek (empat kiri) meredah banjir ketika melawat Kampung Sungai Kechil hari ini

NIBONG TEBAL, 17 September- Lebih 200 rumah dan premis perniagaan di Nibong Tebal, Pulau Pinang dilanda banjir susulan hujan lebat pada awal pagi tadi.

Hujan bermula pukul 5.20 pagi itu menyebabkan air sungai dan air dari kawasan bukit melimpah masuk ke kawasan penempatan penduduk.

Bagaimanapun Ahli Parlimennya, Fadhlina Sidek berkata tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka setakat ini, namun semua pihak telah diarah bersiap sedia jika perlu memindahkan penduduk.

"Ketiga-tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) terlibat, dan kawasan-kawasan ini sering dinaiki air. Jika berlaku bencana seperti ini, kawasan-kawasan tersebut memang sering terjejas.

"Keadaan ini bukan sahaja menjejaskan kesejahteraan dan ekonomi penduduk, tetapi juga mempengaruhi perniagaan di kawasan tersebut," katanya kepada pemberita ketika melawat Kampung Sungai Kechil di sini hari ini.

Dalam pada itu, penduduk Kampung Sungai Kechil, Zaitun Pin, 63, berkata air mula memasuki rumahnya pada pukul 8.00 pagi tadi menyebabkan dia dan keluarga tidak sempat mengalihkan barangan.

"Hujan lebat tanpa henti sejak pagi menyebabkan air cepat penuh dalam masa sepuluh minit. Tilam-tilam tidak sempat diangkat," ujarnya.

Seorang lagi penduduk, Faris Hasan, 28, mengatakan bahawa air naik dengan cepat hingga mencapai paras pinggang di kawasan rumahnya.

"Semua perabot tidak sempat diangkat. Peti ais jatuh dan air dalam rumah mencapai paras paha," tambahnya.

Antara kawasan terlibat banjir termasuk Jawi, Sungai Duri, Sungai Kechil, Kampung Sungai Udang, Kampung Sungai Buaya, Kampung Setthu, Kampung Besar, Taman Ilmu, Taman Cendrawasih, Taman Nibong Tebal, dan Kampung Sanglang.

SITI AISHAH MD ISA