fb fb fb fb fb

Niaga hadapan MSM ditutup rendah teruskan aliran menurun

FOTO HIASAN

KUALA LUMPUR, 10 Oktober- Niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives meneruskan aliran menurun hari ini untuk ditutup kebanyakannya lebih rendah bagi hari ketiga berturut-turut di tengah-tengah petanda paras stok tinggi di dalam negara, kata seorang peniaga.

Peniaga minyak sawit David Ng berkata stok minyak sawit meningkat hampir tujuh peratus pada September berikutan prestasi eksport yang lebih lemah daripada jangkaan yang menyebabkan peningkatan inventori.

“Peningkatan stok ini dijangka memberi tekanan terhadap harga pada masa depan,” katanya kepada Bernama.

Mengikut data Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) eksport minyak sawit pada September 2024 naik 0.93 peratus kepada 1.54 juta tan metrik daripada 1.53 juta tan metrik pada Ogos 2024, manakala jumlah stok minyak sawit meningkat 6.93 peratus kepada 2.01 juta tan metrik daripada 1.88 juta tan metrik pada bulan sebelumnya.

Sebaliknya, pengeluaran MSM susut 3.8 peratus atau 71,926 tan metrik kepada 1.82 juta tan metrik pada September 2024 daripada 1.89 juta tan metrik pada Ogos.

Ng berkata penurunan harga minyak kacang soya juga menjejaskan sentimen pasaran.

“Kami melihat paras sokongan pada RM4,200 setan metrik dan paras rintangan pada RM4,350,” katanya.

Ketua penyelidikan komoditi Sunvin Group yang berpangkalan di Mumbai Anilkumar Bagani berkata stok minyak sawit Malaysia yang berjumlah 2.01 juta tan metrik pada September adalah dalam anggaran kumpulan iaitu sebanyak 2.04 juta tan metrik dan lebih tinggi daripada anggaran 1.88 juta-1.95 juta tan metrik.

“Peningkatan stok itu adalah disebabkan oleh penurunan mendadak sebanyak 37 peratus penggunaan domestik dan kenaikan lebih 10 peratus stok MSM,” katanya.

Beliau berkata pengeluaran menurun sebanyak 3.8 peratus manakala eksport meningkat hanya di bawah satu peratus.

“Eksport minyak sawit pada Oktober dijangka kukuh sedikit. Selain itu cuaca kering di Amerika Syarikat menyokong momentum positif dalam pasaran minyak sayuran global,” katanya.

Pada penutup dagangan, kontrak November 2024 turun RM24 kepada RM4,269, Disember 2024 susut RM19 kepada RM4,233, Januari 2025 berkurangan RM13 kepada RM4,196 dan Februari 2025 jatuh RM4 kepada RM4,167.

Bagaimanapun, kontrak bulan semerta Oktober 2024 menokok RM7 kepada RM4,350 setan metrik dan Mac 2025 menambah RM4 kepada RM4,139.

Jumlah dagangan meningkat kepada 108,838 lot daripada 90,582 pada Rabu, manakala kepentingan terbuka terbuka mengukuh kepada 251,551 kontrak daripada 248,042 sebelumnya.

Harga MSM fizikal bagi Oktober Selatan kekal tidak berubah pada RM4,400 setan metrik.- BERNAMA

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE