KUALA LUMPUR, 29 Januari – Beberapa badan bukan kerajaan (NGO) menyatakan sokongan penuh terhadap usaha pembangunan semula Gaza dan Palestin yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini.
Presiden Muslim Care Malaysia, Zulkifli Wahijan berkata kerjasama antara kerajaan Malaysia dan Jepun amat relevan dalam membangunkan semula Gaza yang hampir musnah keseluruhannya.
“Saya menyokong penuh usaha kerajaan untuk membangunkan semula Gaza yang telah hancur musnah hampir keseluruhannya. Usaha sama dengan kerajaan Jepun untuk membina sekolah, hospital, masjid dan lain-lain amat dialu-alukan.
“Pada masa yang sama, kami juga menyeru agar kerajaan dapat memberikan kepercayaan kepada NGO-NGO Malaysia untuk turut serta dalam pembangunan semula Gaza. Insya-Allah, kami akan memberi sokongan penuh dan bekerjasama dalam usaha ini,” katanya kepada RTM.
Terdahulu, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kesepakatan antara Malaysia dan Jepun bagi mempercepatkan usaha pembangunan semula Gaza dan Palestin menerusi inisiatif Kerjasama antara Asia Timur untuk Pembangunan Palestin (CEAPAD).
Beliau turut mengalu-alukan penyertaan daripada pelbagai pihak, termasuk agensi kerajaan, NGO, sektor swasta, syarikat perniagaan, korporat serta rakyat Malaysia bagi merealisasikan usaha ini dengan segera.
BERITA BERKAITAN: