TUMPAT, 5 Disember- Badan bukan kerajaan (NGO) atau mana-mana pihak yang ingin menghulurkan sumbangan kepada penduduk terjejas banjir perlu melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) agar pengagihan dapat dilaksanakan dengan lebih teratur.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata, langkah itu bagi mengelakkan isu pertindihan bantuan kepada penerima sama.
"Sebab kita tidak mahu bantuan diberikan kepada orang yang sama atau tempat pengangihan itu tidak ada. Jadi proses ini sukar untuk dilakukan.
"Jadi ada kebarangkalian ada pendduduk terjejas yang tidak dapat bantuan. Sebelum ini pihak kami ada juga datang untuk melawat PPS untuk melihat sendiri keadaan semasa jadi kita boleh buat persediaan untuk gelombang banjir peringkat berikutnya," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat penduduk terjejas banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Seri Tumpat 2, di sini.
Ia berikutan tular berkenaan seorang individu yang juga penduduk terjejas banjir di sebuah PPS di Tumpat meluahkan rasa kecewa apabila bantuan yang disumbangkan oleh pempengaruh dan usahawan terkenal, Khairul Aming tidak diagihkan dengan betul.
Dalam hantaran menerusi aplikasi TikTok tindakan mengasingkan barangan bantuan yang diberikan pempengaruh itu diselar dan disifatkan tidak adil.
Dalam perkembangan berkaitan Nancy turut memaklumkan JKM menempatkan 152 pegawai psikologi di kawasan terjejas banjir bagi membantu memulihkan emosi penduduk terlibat selain 1,047 sukarelawan bagi melancarkan pengurusan di PPS.