
KUALA LUMPUR, 25 Februari – Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming meneruskan tradisi menyantuni warga Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dengan bersahur di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seputeh di sini, pagi ini.
- Nga meneruskan tradisi bersahur bersama anggota JBPM untuk menunjukkan semangat kebersamaan dan sokongan moral.
- Beliau memasak kuetiau, roti canai dan membancuh teh tarik sebagai tanda penghargaan terhadap pengorbanan anggota bomba.
- Kementerian komited memastikan aset dan kelengkapan JBPM sentiasa bersedia menghadapi sebarang risiko semasa sambutan raya.
Selain beramah mesra dengan warga “wira merah” itu, beliau turut mengambil kesempatan menyediakan juadah bersahur dengan memasak kuetiau dan roti canai serta membancuh teh tarik pada program kali kedua dianjurkan sejak Ramadan tahun lepas di BBP Jalan Hang Tuah.
Katanya, program itu merupakan tradisi yang terus dilaksanakan pada masa akan datang bagi menunjukkan semangat kebersamaan dan sokongan moral kepada 15,000 anggota JBPM di seluruh negara.
“Mereka merupakan insan yang luar biasa. Apabila berlaku apa-apa bencana, merekalah barisan hadapan dan orang pertama hadir ke tempat kejadian sebagai tonggak penyelamat negara.
“Menjelang hari raya akan datang ini, kebanyakan anggota bomba cuti mereka terpaksa dibekukan untuk menghadapi sebarang risiko. Pengorbanan mereka, jasa dan bakti anggota bomba wajib kita kenang, wajib kita hargai bersama,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Hadir sama pada program itu Ketua Pengarah JBPM Datuk Seri Nor Hisham Mohammad, Pengarah JBPM Kuala Lumpur Hassan ‘As’ari Omar serta 20 ketua BBP dari seluruh Kuala Lumpur.
Tambahnya, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan komited memastikan aset dan kelengkapan JBPM di seluruh negara berada dalam keadaan bersiap siaga ketika sambutan hari raya nanti.