SEREMBAN, 23 November- Negeri Sembilan Command Center (NeSCOM) kembali beroperasi awal November ini sebagai persediaan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka berlarutan hingga Mac tahun depan.
Menurut Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Negeri Sembilan, Leftenan Kolonel Pertahanan Awam (PA) Mohamad Nazri Meskam, data-data berkaitan seperti paras air sungai, tanah runtuh, keadaan jalan dan ramalan cuaca dikumpulkan seterusnya dipaparkan di NeSCOM bagi memudahkan proses pengerahan tenaga kerja menangani bencana itu.
"NesCOM ini berfungsi debgan pelbagai kaedah pertamanya melalui laporan diterima daripada orang awam dan di daerah-daerah yang memaklumkan berlakunya kejadian seperti banjir dan sebagainya.
"Kemudiannya kejadian banjir akan dimaklumkan kepada pusat kawalan operasi dan pusat operasi daerah. Pusat operasi daerah kemudiannya akan respon kepada kes yang berlaku", katanya demikian kepada RTM di sini.
NeSCOM dikendalikan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri yang melibatkan beberapa jabatan berkaitan antaranya Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Tambahnya, sebanyak 120 kawasan hotspot banjir dikenal pasti di negeri itu antaranya 17 di Jempol dan Rembau, 15 di Jelebu, 21 di Port Dickson, lima di Kuala Pilah, 10 di Tampin dan 35 di Seremban.
Dalam pada itu, Mohamad Nazri menasihatkan orang ramai agar peka dengan ramalan cuaca yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MET) serta sentiasa bersiap siaga bagi menghadapi sebarang bencana pada musim MTL.