KOTA BHARU, 8 September- Seorang wanita warga emas maut dilanggar sebuah motosikal ketika melintas jalan dekat Kampung Berangan di Tumpat hari ini.
Ketua Polis Daerah Tumpat ACP Mohd Khairi Shafie menerusi satu kenyataan hari ini memaklumkan mangsa yang berusia 72 tahun dipercayai melintas jalan secara tiba-tiba sebelum dilanggar motosikal berkenaan.
Beliau berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 7.30 pagi.
Katanya, motosikal itu ditunggang remaja lelaki berusia 18 tahun yang dalam perjalanan dari Wakaf Bharu ke Tumpat.
"Kerana jarak yang dekat dengan mangsa, motosikal itu tidak sempat mengelak. Mangsa dibawa ke Hospital Tumpat dan disahkan meninggal dunia oleh Penolong Pegawai Perubatan hospital berkenaan," katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan.