fb fb fb fb fb

Nelayan di Perlis terima kediaman baharu

Nelayan di Perlis terima kediaman baharu

KUALA PERLIS, 20 Disember- Kerajaan Negeri dengan kerjasama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan melalui Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) telah membangunkan Projek Penempatan Semula Nelayan (PSN) Fasa I di atas tanah milik kerajaan negeri di Kampung Wai, Mukim Kuala Perlis, Perlis.

Projek ini menelan kos sebanyak RM10.54 juta di bawah Tabung Khas Perumahan Nelayan (TKPN) merangkumi komponen satu blok rumah kediaman setinggi lima tingkat mengandungi 60 unit rumah serta dilengkapi surau dan dewan.

Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli memaklumkan, pelaksanaan projek ini bagi meningkatkan kualiti hidup nelayan melalui pembinaan rumah dengan prasarana asas yang selesa berdasarkan kepada panduan Projek Perumahan Nelayan (PPN) yang disediakan oleh LKIM.

Projek ini dikhususkan kepada nelayan Negeri Perlis yang berpendapatan rendah melalui garis panduan pemilihan yang ditetapkan oleh LKIM.

Projek Penempatan Semula Nelayan ini telah siap dibina dan ditawarkan secara jual beli dengan harga jualan seunit rumah RM50,000.

"Kemudahan pinjaman perumahan kepada golongan nelayan telah ditawarkan oleh Agro Bank melalui skim Program Kediaman Mampu Milik-i (PKMM) yang mana memberi kemudahan pinjaman wang bagi memiliki rumah mampu milik yang disediakan oleh pihak kerajaan secara pembelian. 

"Pemilihan nelayan untuk Projek PSN ini diselaraskan oleh Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Negeri Perlis dengan kerjasama Persatuan Nelayan Negeri Perlis dimana keutamaan Projek PSN negeri Perlis adalah kepada golongan nelayan yang tidak mempunyai rumah dan tanah", katanya.

Beliau memaklumkannya pada Majlis Penyerahan Kunci Penempatan Semula Nelayan kepada 17 nelayan yang layak bagi fasa 1 di Taman Wang Damai, Kuala Perlis.

Kerajaan Negeri bekerjasama rapat dengan pihak LKIM bagi memastikan kesemua unit disediakan dapat ditawarkan kepada golongan nelayan yang berkelayakan. 

ROSLINA BINTI DIN