fb fb fb fb fb

Negeri Sembilan tidak luluskan permohonan syarikat beli tanah persendirian

Datuk Seri Aminuddin Harun

SEREMBAN, 28 Februari- Kerajaan Negeri Sembilan tidak akan meluluskan sebarang permohonan syarikat bagi pembelian tanah persendirian terutamanya di kawasan perkampungan kata Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun.

Perkara itu merupakan dasar kerajaan negeri kerana tidak mahu kawasan berkenaan diceroboh oleh pengusaha-pengusaha kilang dan dijadikan sebagai tempat penyimpanan barang atau kawasan pembuangan sisa berbahaya.

"Kita sedia maklum mula-mula dia jual kepada syarikat, dan syarikat kadang-kadang pada awalnya akan dijadikan stor yang akhirnya menjadi kilang haram. Jadi ini antara kebimbangan kita dan kerajaan negeri. Sebenarnya kita bersetuju supaya tidak meluluskan mana- mana permohonan syarikat untuk membeli tanah persendirian khususnya di kawasan-kawasan perkampungan," katanya kepada pemberita dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Wisma Negeri, di sini.

Bagaimanapun Aminuddin mahu, masyarakat sekitar turut memainkan peranan sebagai mata dan telinga pihak berkuasa untuk memantau sebarang aktiviti mencurigakan di kawasan setempat.

Terdahulu media melaporkan, terdapat dua buah kilang diserbu di kawasan perkampungan di daerah Seremban kerana warga asing didapati menjalankan aktiviti pengilangan secara haram.

Sementara itu berkenaan naik taraf Stadium Hoki Seremban dan dua Kompleks Rakan Muda masing-masing di daerah Jempol dan Kuala Pilah melibatkan peruntukan keseluruhan bernilai RM17 juta.

Menurut Aminuddin RM5 juta peruntukan daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) itu adalah bagi pembaikan sistem perparitan, padang rumput tiruan dan fasiliti seperti lampu bagi stadium hoki.

Manakala Kompleks Rakan Muda di daerah Jempol dan Kuala Pilah masing-masing menerima peruntukan RM6 juta bagi projek tersebut.

"Stadium itu tidak pakai rumpur turf, kelulusan dah ada... berkenaan perparitan itu kena buat sebab dulu kalau kita ingat boleh buat awal. Tetapi kita punya perparitan dah rosak dan kos paling tinggi sebenarnya perparitan," katanya.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI