fb fb fb fb fb

Negeri Sembilan sedia terajui transformasi teknologi digital

Majlis Perasmian Program Madani Rakyat di Dataran Nilai

NILAI, 23 Ogos – Kerajaan Negeri Sembilan bersedia menerima anjakan paradigma dalam bidang teknologi digital selaras dengan aspirasi menuju transformasi ekonomi berasaskan digital.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, kerajaan negeri kini giat memperkasakan penjawat awam dengan pengetahuan Kecerdasan Buatan (AI) sebagai langkah ke arah merealisasikan transformasi digital.

Menurutnya, usaha itu seiring dengan matlamat Pelan Ekonomi Digital Negeri Sembilan 2027 untuk melahirkan masyarakat celik digital sekali gus meningkatkan daya saing negeri dalam era teknologi.

“Suka saya maklumkan, selain pembinaan sebuah pelabuhan kontena pintar bercirikan kecerdasan buatan (AI) yang pertama seumpamanya di Port Dickson, Negeri Sembilan juga bakal menjadi negeri pertama di Malaysia yang memiliki hab halal moden berteknologi AI.

“Hab itu akan direalisasikan menerusi pembinaan Fasiliti Penyimpanan Sejuk Beku Halal Bersepadu, dikenali sebagai Regional Halal Distribution Centre (RHDC), di Bandar Enstek, Nilai. Insya-Allah, pembinaan dan pengoperasian RHDC dengan pelaburan hampir RM600 juta itu akan dibangunkan di kawasan seluas 5.423 hektar (13.4 ekar) dan dijadual bermula September ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Program Madani Rakyat di Dataran Nilai, di sini, hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut hadir dan menyempurnakan majlis perasmian tersebut.

HASRON BIN HASSAN