fb fb fb fb fb

Negeri Sembilan rancang bangunkan sumber air bawah tanah

SEREMBAN, 26 Mac- Sumber air bawah tanah boleh dibangunkan sebagai satu sumber alternatif bagi menghadapi ancaman terhadap sumber air permukaan.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, sejak akhir-akhir ini terdapat banyak ancaman kepada sumber air permukaan termasuk risiko perubahan iklim global dan kepesatan pembangunan yang boleh menggugat sumber air untuk kegunaan pelbagai sektor.

Penggunaan air yang semakin banyak memerlukan kerajaan mencari sumber air alternatif bagi mengurangkan kebergantungan penggunaan air permukaan selain potensi air bawah tanah perlu dikaji sebaiknya untuk dijadikan sumber baharu air negara.

Jelasnya, dengan ancaman kepada sumber air permukaan, sumber air bawah tanah boleh dibangunkan sebagai satu sumber alternatif sebagai contoh semasa bencana banjir yang melanda di Negeri Sembilan pada Disember tahun lalu menyebabkan bekalan air bersih di Kampung Puom, Jelebu telah terjejas.

"Sebagai contoh semasa bencana banjir yang melanda di Negeri Sembilan pada Bulan Disember tahun 2021 yang lalu. Bekalan air bersih ke Kampung Puom, daerah Jelebu telah terjejas, dimaklumkan bahawa melalui telaga sumber air bawah tanah yang tersedia di Masjid Kariah Kampung Puom, telaga tersebut telah dimanfaat bagi membekalkan air kepada penduduk setempat" kata Aminuddin.

Beliau berucap demikian pada Sambutan Hari Air Sedunia 2022 Peringkat Negeri Sembilan di Masjid Kariah Kampung Pulau Lambar, Labu.

Tambahnya, menerusi simpanan sumber air bawah tanah yang banyak itu kelak dilihat boleh digunakan kerajaan dalam usaha menangani masalah bekalan air bersih terutama apabila berlaku musim kemarau, banjir atau pencemaran sungai yang tidak dapat dijangka.


(Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berucap pada majlis Sambutan Hari Air Sedunia 2022 Peringkat Negeri Sembilan)

Media Baharu