fb fb fb fb fb

Negeri Sembilan lancar beras jenama sendiri 'Perpatih'

Exco Kanan Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias (dua,kiri) menyempurnakan pelancaran beras Negeri Sembilan 'Beras Perpatih' di Negeri Sembilan Fest 2024 di sini, hari ini.

NILAI, 1 Ogos- Kerajaan Negeri Sembilan memperkenalkan jenama beras sendiri dikenali sebagai 'Perpatih' untuk memenuhi permintaan rakyat di negeri ini sekali gus dapat membangunkan industri padi di negeri itu.

Exco Kanan Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, beras berkenaan akan di edarkan melalui Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Lembaga Pertubuhan Peladang di semua lokaliti termasuk pada program Jualan Nismilan Prihatin, Jualan Harga Ladang Nismilan serta Jualan Agro Madani.

"Bekalan beras ini kita perolehi daripada pesawah penanaman padi di Londah, Gemas; Juasseh,Kuala Pilah; Jelebu dan beberapa kawasan lain dengan keluasan keseluruhan 580 hektar.

"Secara amnya kita mempunyai sekitar 1,200 hektar kawasan penanaman padi tetapi masih belum ditanam secara keseluruhan kerana terdapat beberapa perkara yang dalam tindakan antaranya kemudahan infrastruktur dan perparitan yang sedang dinaik taraf," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan pelancaran beras Negeri Sembilan 'Beras Perpatih' di Negeri Sembilan Fest 2024 di sini, hari ini.

Beras 'Perpatih' ini akan dijual dengan harga RM26 bagi 10 kilogram manakala RM13 bagi lima kilogram yang juga diedarkan melalui FAMA dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP).

ZEHRA BINTI ZAMBRI