fb fb fb fb fb

Negeri Sembilan komited laksana program integrasi

Foto hiasan

SEREMBAN, 2 Mac- Negeri Sembilan memberi keutamaan kepada perpaduan kepelbagaian kaum khususnya mengurangkan jurang dalam kalangan rumah ibadat di negeri itu.

Pengarah Jabatan Pepaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Negeri Sembilan Salasiah Hashim berkata, Minggu Keharmonian Antara Penganut Agama Sedunia Peringkat Negeri Sembilan antara inisiatif yang dilakukan supaya keharmonian dapat dikekalkan.

"Tapak integrasi memang perlu diadakan lebih kerap dan banyak, khususnya rumah ibadat untuk mengurangkan jurang antara rumah ibadat Islam dan bukan Islam. Perkara itu disebabkan walaupun mereka berada di satu kawasan sama tetapi tiada interaksi," katanya selepas menyempurnakan pelepasan program berkenaan ke rumah ibadat yang lain, di Seremban.

Program yang dianjurkan Jabatan Pepaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Negeri Sembilan itu disertai kira-kira 500 peserta.

Program itu merupakan kali kedua di Negeri Sembilan dan merupakan salah satu daripada empat negeri yang dipilih.

JPNIN Negeri Sembilan dengan kerjasama setiap rumah ibadat turut berkunjung ke lima buah rumah ibadat agama Islam dan rumah ibadat bukan Islam di seluruh negeri itu.

Sementara itu, Exco Kesihatan, Perpaduan, Penerangan, Integrasi Nasional dan badan bukan kerajaan (NGO) Tengku Zamrah Tengku Sulaiman berkata, kerajaan negeri semestinya menyokong usaha untuk memupuk perpaduan dalam kalangan masyarakat Malaysia MADANI.

"Ketua rumah ibadat main peranan penting untuk komuniti kawasan tersebut, jadi itulah program keharmonian setiap tahun perlu diadakan," katanya.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI