
SEREMBAN, 11 Februari -Seramai 12 pengusaha hotel di Negeri Sembilan mempamerkan pelbagai juadah tradisi dan kontemporari sempena Program Negeri Sembilan Food Festival 2026 yang diadakan bersempena sambutan Ramadan.
- Pertandingan memperlihatkan 12 pengusaha hotel mempamerkan juadah tradisi dan kontemporari sempena Ramadan.
- Festival digunakan sebagai platform promosi Tahun Melawat Negeri Sembilan 2026 dan mempromosikan makanan tempatan.
- Acara mengukuhkan sektor hospitaliti dan pelancongan dengan perasmian karnival, penyampaian sijil dan pameran reruai.
Exco Bertindak Warisan, Teknologi, Inovasi dan Digital, Datuk Mohd Faizal Ramli berkata, penganjuran festival itu melibatkan penyertaan hotel-hotel dari seluruh negeri sekali gus menampilkan kepelbagaian juadah Ramadan berasaskan makanan tempatan.
Menurut beliau, program berkenaan turut menjadi platform penting bagi mempromosikan Tahun Melawat Negeri Sembilan 2026, di samping memperkukuh sektor hospitaliti dan pelancongan negeri.
“Kali ini berbeza adalah kerana tahun ini adalah Tahun Melawat Negeri Sembilan 2026, jadi mereka telah mengadakan promosi awal dan menghimpunkan hotel-hotel ini untuk mereka promosi keistimewaan atau hidangan yang unik kepada pengunjung-pengunjung yang datang berbuka di hotel masing2.
“Kita tahu bahawa Negeri Sembilan ini mempunyai pelbagai jenis masakan, ada yang istimewanya kari kepala kambing, masak lemak cili api dan sebagainya adalah masakan yang terkenal di Negeri Sembilan,” katanya pada program Negeri Sembilan Food Festival 2026 bersempena sambutan Ramadan Al-Kareem 1447 Hijrah, di Port Dickson.
Kemuncak acara menyaksikan perasmian karnival dan penyampaian sijil penghargaan oleh Datuk Mohd Faizal Ramli kepada hotel-hotel yang terlibat.
Beliau kemudiannya turut melawat reruai pameran serta mencuba pelbagai juadah yang disediakan.