SEREMBAN, 25 November- Kerajaan Negeri Sembilan membentangkan Belanjawan 2023 dengan defisit berjumlah RM100 juta.
Menurut Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, anggaran belanja mengurus pada tahun hadapan adalah sebanyak RM550 juta berbanding anggaran hasil berjumlah RM450 juta dan peruntukan bagi perbelanjaan pembangunan pula adalah sebanyak RM130 juta.
Bertemakan 'Melunas Janji Menggalas Harapan' sembilan bidang disediakan dengan 64 inisiatif melibatkan peruntukan sebanyak RM107 juta.
(Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun)
"Sebanyak 22 inisiatif baru akan diperkenalkan dan 42 inisiatif sedia ada akan di kekalkan menjadikan inisiatif belanjawan 2023 adalah sebanyak 64 inisiatif dengan peruntukan sejumlah RM107 juta," katanya.
Belanjawan Negeri Sembilan 2022 akan dilaksana dengan memberi fokus kepada sembilan bidang tumpuan.
Ia merangkumi Jaminan Bekalan Makanan, Ekonomi Rakyat, Pendidikan, Kebajikan, Pemerkasaan Komuniti, Belia dan Wanita, Kerohanian dan Agama, Adat dan Pelancongan serta Pentadbiran.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Negeri Sembilan Tahun 2023 pada Persidangan Keempat (Belanjawan), Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan Ke-14 di Seremban.
Datuk Seri Aminuddin turut mengumumkan pemberian Bantuan Khas Kewangan satu bulan setengah gaji atau minimum RM2,500 kepada seramai 5,599 orang penjawat awam di Negeri Sembilan.