fb fb fb fb fb

Negeri belum menganggotai MKI disaran sertai segera – Sultan Selangor

(Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Timbalan Pengerusi  Majlis Kebangsaan Bagi
Hal Ehwal Agama Islam Malaysia hadir sama pada mesyuarat kali ke-70 itu/Foto Fath Rizal JPM)
 

SHAH ALAM, 28 Ogos -Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan harapan supaya negeri-negeri yang masih belum menganggotai Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) dapat menyahut pelawaan seterusnya menganggotai platform musyawarah itu secara rasmi.

“Suka beta mengingatkan bahawa MKI adalah sebuah institusi yang mendapat perkenan Majlis Raja-Raja, bukan sahaja daripada segi penubuhan, malah daripada segi keahliannya, titah baginda pada Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Kali ke-70 di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini hari ini. 

Baginda yang juga Pengerusi MKI bertitah bahawa keanggotaan utama dalam MKI adalah daripada wakil negeri-negeri yang memainkan peranan amat penting dalam menyelaras hal ehwal Islam.

Walaupun telah banyak kejayaan dicapai melalui rundingan di platform MKI, namun masih terdapat pelbagai perkara yang masih belum dan memerlukan penglibatan semua ahli-ahli mesyuarat mencetuskan idea dan buah fikiran bernas.

“Peradaban manusia yang terus berkembang memerlukan institusi agama bergerak secara lebih dinamik serta berpandangan jauh kehadapan. Ia tidak akan tersasar selagi mana berpaksikan kepada objektif hukum syarak iaitu menjaga maslahah agama, nyawa, akal dan keturunan, menegakkan kebaikan dan mencegah anasir-anasir yang membawa keburukan, titah baginda.

Sultan Selangor juga mahu MKI berperanan secara optimum selari fungsinya sebagaimana digariskan dalam Peraturan-Peraturan MKI 2022.

Pada majlis itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Timbalan Pengerusi Majlis itu, turut hadir.

BERITA BERKAITAN
Kerajaan Perpaduan sedia tambah baik hal ehwal Islam di Malaysia

Terdahulu dalam titah sama, baginda menyatakan rasa dukacita terhadap kecenderungan sesetengah pihak membangkitkan pendapat dan pandangan secara terbuka berkaitan beberapa isu sensitif yang seharusnya dibincangkan melalui forum MKI.

“Walaupun mereka menyatakan tujuannya adalah untuk menegakkan hujah, tapi kenapa sampai menimbulkan keraguan tentang kearifan para mufti yang memahami ilmu falak dan mengambil keputusan yang tidak bertepatan dengan apa yang telah dipersetujui,” titah baginda.

Sultan Selangor merujuk pihak yang mempertikai keadah rukyah dalam menetapkan tarikh permulaan Ramadan serta menentukan anak bulan Syawal seperti yang telah dipersetujui dalam mesyuarat pegawai-pegawai kanan negara Brunei, Indonesia, Malaysia dan Singapura.

"Sedangkan kaedah rukyah ini bertepatan dan selari dengan sandaran agama kita yang mengambil kira ilmu hisab dan sains astronomi moden."

Atas perkara itu, baginda menyarankan bagi mengelak sebarang kekeliruan pada masa hadapan, Jabatan Kemajuan Islam Malysia (JAKIM) mengeluarkan satu ketetapan muktamad berkaitan kaedah penentuan tarikh permulaan Ramadan serta menentukan anak bulan Syawal melalui rukyah dan hisab.  


(Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Kali ke-70 di Masjid
Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah/Foto Fath Rizal JPM)

Media Baharu