fb fb fb fb fb

Negara tidak selamat jika pemimpin, sistem tunduk ancaman penjenayah- PM

Anwar Ibrahim/ Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 25 Mac- Negara tidak akan selamat jika kepimpinan dan sistem negara tunduk kepada ancaman penjenayah dan pengkhianat, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Gejala rasuah, khususnya yang melibatkan agensi penguatkuasaan, selain penyeludupan, pengkhianatan, serta permusuhan antara kaum dan agama, tidak boleh dibiarkan kerana ia boleh melemahkan negara.

"Sebab itu saya hargai saudara-saudara (PDRM), bila ada tindakan tegas dan keras dari pasukan. Ini harus dilakukan secara konsisten.

"Saya yakin, bila kita bicara soal pembanterasan rasuah dan tatakelola, sekiranya agensi penguatkuasan kita, PDRM dan lain-lain secara tegas dan keras untuk satu, dua tahun ini, tidak tolak ansur sama sekali, tidak peduli pangkat dan pengaruh mereka, ambil tindakan sekeras-kerasnya, insya-Allah, saya yakin suasana politik dan iklim negara akan jauh lebih baik," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sambutan Hari Polis ke-218 di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur.

Tambah beliau, kejayaan negara membanteras jenayah di sempadan sejak akhir-akhir ini jelas menunjukkan komitmen tinggi agensi-agensi penguatkuatkuasaan negara dalam merencana tindakan bersepadu dan bekerja sebagai satu pasukan.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM