PUTRAJAYA, 28 November- Negara luar melihat ASEAN sebagai salah satu rantau paling aman di dunia dengan pertumbuhan ekonomi yang pesat, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkongsi pandangan itu selepas beberapa siri lawatan rasmi ke luar negara yang menyaksikan ASEAN diiktiraf sebagai salah satu wilayah yang sedang berkembang dengan cepat dengan lebih 660 juta penduduk.
"Malaysia cukup bertuah berada dalam rantau ASEAN yang dianggap antara yang paling aman di dunia. Kita mesti pelihara dan lindungi keamanan dan perpaduan ini dengan kerja keras dan keberanian agar kita bukan sahaja dapat bertahan tetapi lebih cemerlang sebagai sebuah negara yang hebat. Itu adalah impian kita," katanya ketika berucap merasmikan Majlis Peluncuran Festival Idea Putrajaya (Putrajaya FOI) di sini hari ini.
Perdana Menteri turut menekankan usaha menghentikan rasuah serta ketaksuban agama dengan prinsip dan nilai Lazatul Makrifat yang membawa kebaikan dan seterusnya meletakkan Malaysia sebagai negara yang gagah dan hebat.
"Cukuplah. cukuplah dengan rasuah, cukuplah dengan perkauman, cukuplah dengan ketaksuban agama. Marilah kita bersatu sebagai sebuah negara hebat dan membina Malaysia baharu.
"Bagaimana kita dapat menghidupkan Malaysia baharu ini? Dengan menghayati prinsip, nilai, idea, ilmu, dan pencerahan melalui Lazatul Makrifat untuk membawa kebaikan," tambahnya.
Anwar juga menyeru rakyat khususnya generasi muda untuk memanfaatkan idea dan pemikiran kritis dalam membentuk masa depan negara yang lebih baik.
"Saya melihat masa depan pada diri kalian semua. Kita boleh mengekalkan perpaduan ini dengan ketekunan dan tidak sesekali menganggapnya sebagai ciri kekal. Melalui usaha keras dan ketekunan, kita akan menentukan masa depan negara yang lebih gemilang," katanya lagi.
Dalam pada itu, Anwar memaklumkan Festival Idea Putrajaya seharusnya menjadi acara tahunan kerana ia mampu menyemarakkan pemikiran baharu, daya cipta dan kreativiti dalam kalangan anak muda.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata elemen idea amat penting dalam membangunkan negara seperti yang digagaskan dalam kerangka besar Malaysia MADANI.
"Idea boleh bercambah, boleh berkecamuk, sebab itu penerimaan idea, kupasan idea sangat penting. Ini bermakna idea yang kita bicara adalah kerangka besar yang mempertahankan nilai murni termasuk kemanusiaan dan kebaikan.
"Negara harus membangun, membangun dengan idea, kita ungkapkan dalam kerangka besar Malaysia MADANI, maknanya idea pembaharuan. Ada yang mengakar ke bumi iaitu jati diri bangsa, nilai, budaya, bahasa, keyakinan dan kepercayaan agama," katanya.