fb fb fb fb fb

NCER catat pelaburan RM64.7 bilion, cipta 14,000 peluang pekerjaan

Foto FB Anwar Ibrahim

PUTRAJAYA, 6 Mac – Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) mencatatkan nilai pelaburan sebanyak RM64.7 bilion pada tahun lalu, sekali gus mewujudkan lebih 14,000 peluang pekerjaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pencapaian itu dibentangkan dalam Mesyuarat Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) Ke-33 yang dipengerusikannya.

“Momentum peningkatan realisasi pelaburan NCER berterusan selama tiga tahun berturut-turut, dengan nilai pelaburan sebanyak RM31.29 bilion pada 2022 dan RM41.45 bilion pada 2023,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Mesyuarat turut membincangkan pembangunan fabrikasi Advanced Packaging (AP) bagi menyokong ekosistem High Value Manufacturing (HVM), selaras dengan kedudukan wilayah utara sebagai hab utama industri semikonduktor negara.

Bagi memperkukuh inisiatif itu, NCER akan memperkenalkan Advanced Packaging Institute and Research Centre (APIRC) menerusi program NCER Technology Innovation Centre (NTIC). APIRC bakal berfungsi sebagai Pusat Kecemerlangan (CoE) untuk pembangunan teknologi, bakat serta ekosistem tempatan dalam bidang AP.

Selain itu, mesyuarat turut membincangkan peranan NCIA dalam membangunkan ekosistem bakat bagi pelbagai industri.

Perdana Menteri menegaskan kepentingan kerjasama menyeluruh antara agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan pemain industri dalam memperkukuh program peningkatan kemahiran serta intervensi strategik.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN