KUALA LUMPUR, 18 Ogos – Dasar Automotif Nasional 2020 (NAP2020) kekal menjadi dasar utama kerajaan dalam memacu pembangunan industri automotif negara ke arah hab serantau berasaskan teknologi, inovasi dan nilai tambah tempatan.
Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong berkata dasar tersebut memberi tumpuan kepada pembangunan teknologi baharu termasuk kenderaan cekap tenaga (EEV), kenderaan elektrik (EV), teknologi pemanduan autonomi serta penerapan konsep Industri 4.0.
Menurutnya, MITI kini sedang melaksanakan Kajian Separuh Penggal NAP2020 bersama Malaysia Automotive Robotics & IoT Institute (MARii) melalui libat urus dengan pemain industri, pembuat dasar dan agensi berkaitan, bagi memastikan hala tuju dasar kekal relevan dengan keperluan pasaran semasa serta perkembangan teknologi global.
Kerajaan juga menubuhkan Council of Automotive Eminent Persons (CAEP) pada Jun lalu yang dipengerusikan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, bagi membentuk hala tuju baharu sektor automotif khususnya dalam aspek pengurangan penggunaan petrol serta pembangunan komponen semikonduktor untuk pasaran eksport.
“Dasar yang dikemas kini ini akan menjadi pelan induk masa depan automotif Malaysia agar selari dengan trend global seperti penggunaan EEV, mobiliti pintar dan automasi,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Jumlah jualan kenderaan baharu di Malaysia pada 2024 mencecah 816,747 unit, tertinggi dalam sejarah dengan peningkatan kukuh dalam segmen kenderaan elektrik dan hibrid.
Melalui NAP2020, kerajaan turut melaksanakan pelbagai strategi termasuk insentif cukai pelaburan, program peningkatan daya saing vendor tempatan, pembangunan piawaian antarabangsa, penggalakan aktiviti R&D, rundingan FTA dan misi perdagangan luar negara, bagi memastikan industri automotif negara kekal berdaya saing di peringkat domestik dan antarabangsa.