PONTIAN, 17 Disember - Nanas Mardi Sweet (MS16) bakal menjadi varieti nanas terbaharu dan terbaik di negara ini hasil kajian selama 10 tahun Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).
MS16 merupakan penanaman hibrid baru nanas di Johor, dijangka akan mula memasuki pasaran pada tahun 2025.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor Datuk Zahari Sarip berkata usaha yang dilakukan itu juga akan terus memastikan penghasilan nanas tempatan secara berterusan dalam memenuhi keperluan pasaran domestik.
Nanas tersebut, akan mula ditanam tahun hadapan menerusi beberapa penanam terpilih setelah nanas berkenaan menjalani 10 tahun penyelidikan.
Zahari berkata kerajaan negeri turut merancang untuk mengeksportnya ke beberapa negara termasuk ke China.
"Pengeluaran nanas Johor tahun lalu (2022) merekodkan 402,000 metrik tan melalui keluasan tanaman sebanyak 11,399 hektar dengan nilai eksport sebanyak RM1.2 bilion setiap tahun," kata Zahari kepada media selepas Majlis Pelancaran Hibrid Baharu Nanas Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) di Stesen Penyelidikan MARDI Pontian, di sini.
Majlis dilancarkan Ahli Parlimen Pontian Datuk Seri Ahmad Maslan, yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya.