fb fb fb fb fb

Najib terima lebih RM60 juta - Penganalisis BNM

KUALA LUMPUR, 18 September- Seorang penganalisis Bank Negara memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa Putera Faisal Turki Bandar al-Saud dari Arab Saudi memindahkan wang berjumlah AS$20 juta, bersamaan nilai lebih RM60 juta ke dalam akaun bank peribadi Datuk Seri Najib Razak pada tahun 2011.

Saksi pendakwaan ke-47, Adam Ariff Mohd Roslan berkata demikian ketika memberi keterangan dalam perbicaraan kes penyelewengan dana 1MDB bernilai RM2.28 bilion.

Dana tersebut dipindahkan secara dua peringkat, masing-masing sebanyak AS$10 juta pada 24 Februari dan 14 Jun 2011.

MenurutĀ Adam, akaun Putera Faisal juga telah menerima jutaan ringgit pelbagai transaksi daripada ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low.

"Akaun bank itu telah memindahkan dana lebih RM58 juta ke akaun peribadi Najib dalam masa tiga hari selepas menerima dana daripada syarikat Jho Low, Good Star," katanya.

Terdahulu, Adam mendedahkan, Good Star telah menerima AS$810 juta daripada 1MDB antara tahun 2009 hingga 2011.

Hasil pemeriksaan penyata akaun bank mengesahkan penerimaan dana tersebut.

1MDB juga telah memindahkan AS$700 juta dan AS$110 juta ke dalam akaun RBS Coutts dimiliki Good Star.

Najib,70, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukan beliau, memperoleh suapan dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.

(Datuk Seri Najib Razak/Foto BERNAMA)

Media Baharu