fb fb fb fb fb

Naik taraf sistem RAS, peruntukan membabitkan RM9.7 juta

Pengarah Bahagian Pembangunan Fasiliti Jabatan Penyiaran Malaysia, Ismail Seman (kiri)

ALOR SETAR, 4 Disember- Sebanyak RM9.7 juta diperuntukkan bagi projek pembangunan menaik taraf Sistem Radio Automasi (RAS) di beberapa stesen radio dalam negara.

Peruntukan disalurkan kepada Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) dibawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12).

Pengarah Bahagian Pembangunan Fasiliti Jabatan Penyiaran Malaysia, Ismail Seman berkata beberapa stesen radio negeri telah pun dinaik taraf dengan peralatan automasi dan digital terbaharu memandangkan peralatan sedia ada semakin uzur.

Projek itu meliputi stesen radio Labuanfm, Sabahfm, Kuchingfm, Pahangfm, Terengganufm, Negerifm dan Melakafm.

"Projek ini merupakan salah satu projek untuk memantapkan lagi peralatan digital dimana sistem automasi ini telah sampai tarikh luput atau tamatlah.

Kita telah menggunakan sistem sedia ada ini mencecah belasan tahun, pelbagai masalah telah dilalui oleh kakitangan yang bertugas. Jadi, kita gunakan peruntukan ini untuk tambah baik pembangunan RAS dengan jumlah kos sebanyak RM9.7 juta," kata Ismail kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Tender Menaik Taraf Peralatan Sistem Penyiaran Radio Digital, Jabatan Penyiaran Negeri Kedah dan Negeri Pulau Pinang di Alor Setar.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Penyiaran Kedah, Nur Hafizoh Idris.

Menurut Ismail, projek pembangunan RAS di stesen radio Kelantanfm, Keningaufm, Tawaufm dan Sandakanfm akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat.

Turut diberi perhatian untuk menggunakan fasiliti yang sama ialah Langkawifm.

Peruntukan tersebut masih dalam permohonan dan menunggu maklum balas daripada KKD.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM