fb fb fb fb fb

Nahas pesawat, waris mangsa tiba di HTAR untuk pengecaman identiti

Foto RTM

KLANG, 14 Februari- Ahli keluarga mangsa pesawat ringan model BK 160 Gabriel telah tiba di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), pagi tadi.

Waris mangsa mendiang Daniel Yee Hsiang Khoon, 30 tahun dan Roshaan Singh Raina, 42 tahun, masing-masing tiba di hospital pukul 8.06 pagi dan 8.20 pagi.

Keluarga mendiang Daniel diwakili enam orang waris telah dibawa masuk ke Jabatan Forensik kira-kira pukul 8.40 pagi manakala empat waris daripada keluarga mendiang Roshaan Singh memasuki jabatan tersebut pukul 9.10 pagi.

Beberapa anggota polis pula dilihat memasuki Jabatan Forensik pukul 8.33 pagi membawa beberapa bungkusan plastik.

Sementara itu, lokasi insiden pesawat ringan yang terhempas pada semalam kelihatan masih lengang. 

Namun, pengamal media sudah berada di sini seawal pukul 7.30 pagi untuk mendapatkan perkembangan terkini. 

Operasi pembersihan bangkai pesawat juga dijangka akan dijalankan hari ini, sebelum senja.

Bagaimanapun, waktu operasi belum ditetapkan kerana perlu menunggu wakil daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan Biro Siasatan Kemalangan Udara (AAIB) untuk meninjau keadaan bangkai pesawat sebelum memulakan operasi pembersihan. 

Lokasi nahas juga ditutup oleh pihak berkuasa pada radius 50 meter bagi tujuan keselamatan. 

Terdahulu, mayat pertama ditemui sekitar pukul 4.50 petang dan mayat kedua ditemukan pada pukul 7.16 petang. 

Kerja-kerja eskavasi kedua dua mengsa selesai sekitar pukul 8.00 malam tadi dan mayat telah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang) untuk bedah siasat. 

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM