fb fb fb fb fb

Nahas lima kenderaan, tiga maut, empat cedera di Lebuhraya KL-Karak

Foto Facebook I LOVE PAHANG

BENTONG, 30 Mac-Tiga maut, empat lagi cedera dan lapan selamat dalam kemalangan melibatkan lima kenderaan di KM50.7 Lebuh Raya Pantai Timur arah Kuantan, berhampiran Kampung Lentang, di sini petang tadi.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, seramai 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bentong bersama tiga jentera bergegas lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan pada pukul 4.55 petang tadi.

Ketika tiba di lokasi, pihak bomba mendapati kemalangan melibatkan sebuah lori lima tan dan empat kereta iaitu jenis Honda Accord, Proton Waja, Proton Saga serta Subaru.

Pasukan bomba berjaya mengeluarkan kesemua mangsa dengan menggunakan peralatan khas.

Mangsa yang maut ialah seorang lelaki dan dua wanita yang menaiki kereta jenis Honda Accord dan disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Manakala mangsa cedera merupakan seorang wanita termasuk dua kanak-kanak yang juga menaiki kereta jenis Honda Accord dan pemandu lori.

Mangsa yang cedera telah menerima rawatan awal petugas KKM sebelum dihantar ke Hospital Bentong.

Kes diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD