fb fb fb fb fb

Nahas helikopter TLDM: Bedah siasat 10 mangsa selesai

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 24 April- Proses bedah siasat 10 mangsa insiden helikopter terhempas yang dijalankan di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) telah selesai pada pukul 2.20 petang.

 Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menerusi kenyataan berkata jenazah mangsa yang beragama Islam akan dibawa ke Kem Batalion ke-23 Rejimen Askar Melayu Diraja, Ipoh untuk solat jenazah.

"Jenazah Mendiang Leftenan Sivasutan a/l Thanjappan TLDM pula dibawa pulang ke kediaman keluarga di Sitiawan, Perak sebelum disemadikan esok, 25 April 2024.

"Manakala, jenazah Mendiang Laskar Kanan JJM Joanna Felicia anak Rohna akan dibawa pulang ke Serian, Sarawak untuk disemadikan menggunakan pesawat C130 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM)", menurut kenyataan itu.

Pihak pengurusan tertinggi TLDM yang dilantik telah menghubungi waris mangsa melalui unit masing-masing tentang kejadian ini.

TLDM akan terus memberi sokongan dari segi bantuan pengurusan jenazah dan sebarang keperluan daripada pihak waris sebaik mungkin.

Penghormatan terakhir buat semua wira TLDM yang terkorban akan dilaksanakan mengikut tradisi tentera laut di setiap lokasi pengebumian yang dipersetujui waris.

ROSLINA BINTI DIN