fb fb fb fb fb

Nahas bas UPSI: Siasatan menyeluruh sedang dijalankan

Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin

IPOH, 9 Jun- Siasatan menyeluruh sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar nahas bas yang mengorbankan 15 nyawa di Kilometer 53, Jalan Raya Timur-Barat Gerik–Jeli, awal pagi tadi.

Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, semua kemungkinan termasuk kecuaian manusia dan faktor teknikal sedang diteliti.

"Agak sukar untuk melihat dalam keadaan gelap kerana kawasan itu hampir gelap sepenuhnya. Tiada garisan jalan, jadi keadaan jalan raya turut menyumbang kepada berlakunya kemalangan ini. Itu yang saya lihat di lokasi kejadian.

"Namun, selebihnya masih dalam siasatan meliputi semua kemungkinan dan sudut, sama ada berpunca daripada kesilapan manusia atau masalah teknikal pada bas itu sendiri", katanya kepada pemberita ketika menziarahi waris mangsa di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh.

Setakat ini, satu rakaman kamera papan pemuka (dashcam) telah diterima dan diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut. 

Pihak polis juga masih menunggu kenyataan tambahan daripada mangsa terselamat dan saksi kejadian.

Datuk Noor Hisam turut menasihati pengguna jalan raya agar lebih berhati-hati terutama ketika musim perayaan dan cuaca tidak menentu, serta menyeru agar keadaan jalan berisiko tinggi diberi perhatian serius oleh pihak berwajib.

ROSLINA BINTI DIN