fb fb fb fb fb

NADMA siap sedia hadapi Monsun Timur Laut

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 21 Oktober- Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) telah bersiap sedia menghadapi Monsun Timur Laut 2024/2025 yang dijangka bermula awal November ini, termasuk daripada segi pengurusan dan mobilisasi aset.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menjelaskan bahawa banjir kali ini diramalkan berlaku dalam tempoh yang lebih panjang.

Oleh itu, semua aspek daripada pelbagai agensi telah diselaraskan, termasuk persediaan Pusat Pemindahan Kekal Bencana dengan kemudahan yang ditambah baik serta penyediaan makanan kepada penduduk terjejas banjir.

"Jawatankuasa Bencana Negara telah bersiap siaga, dan NADMA sebagai agensi penyelarasan telah melakukan kerjasama dengan semua agensi penguatkuasaan termasuk polis, tentera, bomba, dan RELA (Jabatan Sukarelawan Malaysia).

"Kita juga memobilisasikan NGO (badan bukan kerajaan) termasuk persatuan radio amatur kerana ia boleh menjadi alternatif apabila bekalan elektrik terputus..begitu juga kenderaan empat roda, kita juga memobilisasikan. Tahun ini, Jabatan Kebajikan Masyarakat telah bersedia lebih awal," katanya selepas menjadi tetamu dalam rancangan terbitan RTM, di sini.

Sebelum itu, beliau turut memaklumkan bahawa Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan cuaca lebih lembap pada bulan November hingga Disember di kawasan Timur Semenanjung, Sabah, dan Sarawak.

Manakala, bermula Januari hingga Februari 2025, cuaca lebih lembap dijangka berlaku di Johor, Sarawak, dan Sabah.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM