fb fb fb fb fb

NADMA perlu perkemas jentera, pastikan bantuan banjir disalur segera- PM

FOTO FAIL BERNAMA

KUALA LUMPUR, 10 Mac- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) untuk memperkemas koordinasi jentera agensi persekutuan dan negeri bagi memastikan bantuan berterusan kepada mangsa banjir di Sabah dan Sarawak.

Menurut Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah, NADMA turut diminta bekerjasama rapat dengan kerajaan negeri bagi mempercepatkan penyaluran bantuan kepada ketua isi rumah yang terjejas akibat bencana tersebut.

"Perdana Menteri menegaskan pentingnya kerjasama erat antara NADMA dan kerajaan negeri agar proses bantuan tidak tertangguh, memastikan kebajikan mangsa banjir terus diberi keutamaan," katanya dalam Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri (PMO) yang disiarkan secara langsung di Facebook Anwar Ibrahim dan PMO Malaysia.

Dalam pada itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mengingatkan rakyat agar tidak terpengaruh dengan kenyataan berbaur fitnah yang disebarkan di media sosial.

Merujuk kepada satu hantaran di laman sosial baru-baru ini, Tunku Nashrul menyatakan terdapat individu yang mengulangi naratif fitnah lama berkaitan laungan azan, bertujuan mencetuskan keresahan awam.

"Perdana Menteri menegaskan bahawa budaya fitnah ini perlu dihentikan segera bagi mengelakkan kesan buruk kepada masyarakat dan negara. Masyarakat diingatkan agar tidak mudah terpedaya dengan tohmahan sedemikian, lebih-lebih lagi dalam suasana Ramadan yang menyeru kita untuk mengangkat budaya berfikir secara matang dan menolak perpecahan," tambahnya.

Sementara itu, dalam perkembangan berlainan, Perdana Menteri sekali lagi menepis dakwaan beberapa pihak yang masih memainkan isu terkait Akta Pembaharuan Semula Bandar (PSB).

Menurut Tunku Nashrul, undang-undang yang bakal dibawa ke Parlimen kelak tidak akan memaksa mana-mana pemilik rumah atau tanah untuk diusir dan tidak akan mengubah peratusan pemilikan Bumiputera di sesuatu kawasan atau mengubah komposisi etnik di sesebuah kawasan.

"Justeru, tidak timbul isu Melayu Bumiputera dipinggirkan arus kemajuan bandar kerana matlamat utama ialah bagi memastikan peningkatan kualiti hidup masyarakat bandar, sekali gus meningkatkan kualiti hidup masyarakat Melayu itu sendiri," jelasnya.

Kerajaan komited untuk memastikan keamanan dan kesejahteraan rakyat sentiasa terpelihara sambil memfokuskan kepada usaha membangun negara.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE