fb fb fb fb fb

Nadma keluar arahan aktifkan JPBN/JPBD

FOTO HIASAN

KUALA LUMPUR, 20 Disember - Arahan mengaktifkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Peringkat Negeri/Daerah (JPBN/JPBD) dikeluarkan berikutan amaran hujan berterusan tahap waspada di beberapa kawasan yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) tengah malam tadi.

Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dalam satu kenyataan berkata, JPBN dan JPBD perlu memastikan setiap pusat pemindahan sementara (PPS) dilengkapi dengan keperluan asas, dan Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) mempunyai segala aset pengoperasian mencukupi serta berada dalam keadaan baik dan bersedia untuk digunakan.

Nadma menerusi Notis Kesiapsiagaan Operasi Bencana meminta JPBN dan JPBD meningkatkan tahap kesiapsiagaan bagi menghadapi bencana yang mungkin berlaku terutama di kawasan berisiko tinggi.

"NADMA melalui Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC) sentiasa memantau situasi parameter maklumat teknikal dengan kerjasama pelbagai agensi teknikal.

"NDCC juga sentiasa dalam kesiapsiagaan menerima maklumat bencana, bantuan pengurusan dan pengoperasian bencana dari semasa ke semasa melalui nombor telefon 03-80642400, faksimili 03-80642429 dan alamat e-mel Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.," menurut kenyataan itu.

MetMalaysia memaklumkan hujan berterusan tahap waspada dijangka berlaku di Rompin, Pahang dan beberapa kawasan di Johor iaitu Kluang, Mersing, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru hingga esok.

Sementara di seluruh negeri Kelantan, Terengganu dan beberapa kawasan di Pahang iaitu Jerantut, Kuantan dan Pekan hujan berterusan dijangka bermula esok hingga 25 Disember depan.

TETITIA YUSOFF